Rasa bangkangan terhadap apa yang disuarakan oleh mufti bukanlah sesuatu yang di Malaysia. Baru-baru ini Mufti Wilayah dikecam bila menyuarakan isu haram rentas negeri dalam keadaan negara sangat terancam dengan virus Covid 19. Pelbagai cacian netizen jahil agama dilemparkan kepada beliau. Hal yangcsama juga pernah terjadi kepada Almarhum Tuan Guru Dato Ishak Baharom yang juga bekas mufti Selangor berlaga dengan orang politik dek ketegasannya menongkah arus menentang maksiat.
Salah satu punca Almarhum menjadi mufti yang sangat tegas adalah kerana pesanan Almarhum Sultan Selangor sendiri. Ketika menyerahkan watikah sebagai mufti kepada beliau, Sultan bertitah, "Saya serahkan urusan agama ini kepada Dato. Jika Allah bertanya kepada saya tentang urusan agama-Nya di akhirat kelak, maka saya akan tunjuk ke arah Dato".
Pesanan inilah akhirnya menjadi punca beliau sangat konsisten dalam mendaulatkan Islam ditengah rencah kemodenan negeri ketika itu.
Beliau bekerjasama dengan peguam-peguam syarie Selangor bagi memperkasa undang-undang jenayah syariah negeri, menentang sedaya upaya ajaran sesat seperti pengharaman 12 kumpulan dan sentiasa dominon bersuara melawan ancaman liberal yang berselindung di atas nama hak asasi.
Pertandingan Miss Malaysia 1997 di Subang Jaya adalah permulaan krisis antara beliau dan kerajaan pusat. Fatwa Selangor 1995 telah mengharamkan penyertaan mana-mana umat Islam dalam pertandingan seumpama itu.
Jesteru, tiga gadis Islam yang terlibat telah ditahan oleh JAIS. Tangkapan ini menimbulkan polemik apabila Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri secara terbuka mengkritik kaedah penangkapan mereka. Sedangkan urusan agama adalah dibawah kuasa negeri dan bukannya persekutuan.
Krisis ini menjadi panjang apabila Dato Ishak dalam satu ceramahnya memberi amaran kepada umat Islam yang merendahkan hukum agama seperti hudud. Tegas beliau, sesiapa yang mempersenda hukum Islam boleh tergugur akidah tanpa sedar.
Walaupun ceramah tersebut bersifat umum , tetapi sebahagian daripada ahli politik telah menafsirkan perkataan almarhum sebagai 'serangan' ke atas Dr Mahathir yang sebelum ini sangat sinikal dengan usaha Kelantan bagi melaksanakan syariah.
Kira-kira dua bulan selepas itu, beliau akhirnya dipecat atau ditamat kontrak dengan hanya satu memo daripada Kuala Lumpur kepada kerajaan Selangor berbunyi, "Singkir Ishak Baharom, dia penghalang kemajuan". Ini diceritakan sendiri oleh Dato Ishak pada tahun 2004.
Dato Ishak Baharom kemudiannya meneruskan kerja dakwah secara bebas dan mula aktif di dalam politik termasuk menubuhkan GERAK semasa tercetusnya gerakan reformasi pada tahun 1998. Disebabkan itu, beliau diharamkan berceramah di Selangor.
Beliau memilih PAS sebagai landasan politik selepas itu. Dilantik sebagai ahli Majlis Syura Ulama selama 2 penggal antara 2001-2007 dan AJK Dewan Ulama PAS Pusat bermula 2003 hingga ke akhir hayatnya.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buluh pada Januari 2008. Sultan Selangor kemudiannya bertitah agar pengkebumian beliau dijalankan mengikut istiadat negeri di Makam DiRaja Shah Alam.
Titah Tuanku As Sultan ini menunjukkan walaupun beliau ketika hayatnya begitu banyak diperlekeh oleh golongan tertentu yang berkuasa, tetapi jasa dan ilmunya tetap dihargai dan dihormati pihak istana.
Begitulah kisah seorang mufti yang menerima nasib selepas melawan seorang Perdana Menteri. Kesusahan tidak menyebabkannya pekak dengan rintihan kekeliruan umat.
Beliau tidak pernah tunduk dengan ugutan keduniaan. Jauh untuk terpesona menjadi popular dengan memperakui kebatilan.
Semoga Allah membalas jasa dan pengorbanan guru kami yang mulia, Almarhum Tuan Guru Dato Ishak Baharom - yang sehingga ke akhir hayatnya tidak pernah terhenti kasih dan cinta kepada agama-Nya.